BAGAIKAN satu kemestian untuk setiap gadis pandai
memasak sebelum mendirikan rumah tangga.
Namun dalam zaman serba
moden ini, perkara itu tidak lagi menjadi satu indikasi utama dalam perkahwinan,
apatah lagi dengan kewujudan banyak restoran dan aplikasi tempahan makanan.
Berbeza pula ceritanya
dengan seorang jejaka yang baru mendirikan rumah tangga empat bulan lalu yang
berkongsi mengenai perihal ini di laman Twitter sehingga menarik perhatian
ramai.
Menurut Luqmanul Hakim Hassan, isterinya Zuriani Fairuz Zulkifli tanpa segan-silu mengakui dirinya tidak pandai memasak sewaktu di awal perkenalan mereka.
Posting Lukman tular di Twitter.
"Saya baru sahaja
berkahwin pada 18 Ogos lalu. Sebelum berkahwin isteri saya cakap dia tak pandai
memasak.
"Sebelum ni dia
adalah juga cuba nak goreng-goreng tapi masih takut dengan percikan minyak
semasa sedang menggoreng ayam atau ikan," katanya kepada mStar
Online.
Bagaimanapun, jejaka
berusia 24 tahun itu berkata dia sentiasa memberi sokongan kepada isterinya
untuk belajar memasak.
"Sebenarnya saya
bekerja di Jerman. Jadi lepas kahwin saya bawa isteri datang ke sini (Jerman).
Sepanjang di sini saya dan isteri sentiasa masak bersama memandangkan kos makan
di luar amat mahal.
"Dari situ setiap
hari isteri saya belajar perkara baharu. Dan bagusnya isteri saya memang
betul-betul semangat nak belajar memasak. Jadi kalau saya pergi kerja, dia
selalu tengok YouTube atau mana-mana blog memasak,"
katanya.
Jurutera muda itu turut
berpendapat suami tidak seharusnya mengkritik masakan isteri seandainya ia
tidak menepati selera mereka.
Antara menu hasil air tangan isteri Lukman.
"Saya tak nafikan
memang ada orang yang cerewet bila isteri masak tak sedap. Tapi cara kita
sebagai suami untuk tegur atau menutup cacat cela isteri tu sangat penting.
"Daripada
mengkritik kita cuba bantu isteri supaya dia ada keinginan untuk memasak. Saya
sentiasa berpegang kepada prinsip sentiasa sokong, bimbing dan jangan beri
tekanan kepada isteri," katanya.
Oleh kerana sering
memasak semasa berada di bumi asing, Lukmanul atau lebih mesra disapa Lukman,
terkejut dengan pencapaian isterinya yang sudah pandai memasak dalam tempoh
sebulan.
"Ada satu hari tu
saya terkejut sebab lepas balik kerja semua masakan dah dihidangkan dan
semuanya dimasak isteri.
"Sejak itu, saya
dah tahu isteri saya sudah pandai memasak dan serius sedap. Lepas isteri pandai
masak saya beritahu dia hanya perlu masak hari saya bekerja manakala saya pula
akan masak pada hujung minggu," katanya.
Bagi Lukman, memasak
bukan sekadar untuk juadah di atas meja tetapi ia dapat mengeratkan hubungan
mereka sebagai suami isteri.
"Seronok sebenarnya
bila masak bersama. Kadang-kadang bergurau sikit-sikit. Dari situ hubungan
suami isteri jadi lebih mesra," katanya.
Pasangan ini baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Ogos lalu.
Menurut jejaka dari
Melaka itu, antara menu kegemaran yang pernah disediakan oleh isterinya setakat
ini termasuklah ayam masak merah, gulai daging, sup ayam dan soto.
"Setakat ini menu
tersebut paling sedap. Saya sekarang cuma tunggu dia boleh masak asam pedas
je," katanya dalam nada berseloroh.
Meskipun memasak sering
dikaitkan dengan golongan wanita, Lukman berpendapat kaum adam juga sepatutnya
tahu serba sedikit mengenai asas di dapur.
"Saya pun dulu masa
kecil selalu je tolong mak di dapur, potong bawang. Jadi bila dah kerja dekat
Jerman, saya pun belajar masak.
"Bila dah selalu
buat, Alhamdulillah boleh dah memasak," katanya yang sudah dua tahun
bekerja di Jerman.
Sumber mstar
👍☺ Terima Kasih Kerana Membaca Artikel Ini Suami dedah rahsia isteri pandai masak walau baru sebulan kahwin. Semoga Bermanfaat Dan Jangan Lupa Berkongsi Untuk Perkembangan Blog Ini.
