Sponsored
loading...

Hati-hati bila komen

Hati-hati bila komen

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap netizen yang menghantar komen berbaur hasutan dan provokasi di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis sudah sedia maklum mengenai penularan mesej berbaur provokasi ini hasil daripada proses analisa yang dijalankan.
“Apa yang saya ingin tegaskan adalah pihak kami (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penularan laporan atau berita yang berbentuk hasutan mahupun provokasi,” katanya.
Baru-baru ini, terdapat segelintir netizen dikesan cuba membakar api perkauman melalui media sosial susulan kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib, 24, malam kelmarin.
Antara mesej yang cuba ditularkan adalah mengungkit kembali punca kematian Adib yang diserang sekumpulan lelaki di kawasan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, awal pagi, 27 November lalu.
Selain penularan mesej berbaur provokasi yang turut diselitkan dengan pantun, ada juga mesej bergambar dan video tentang kejadian semasa Adib diserang dengan disertakan beberapa petikan ayat berbentuk perkauman.
Noor Rashid berkata, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghasut serta mengajak pihak lain untuk merusuh atau bergaduh akan segera diambil tindakan melalui analisa dan pemantauan yang dibuat oleh pasukan PDRM.
Katanya, pada masa ini pihak polis sudah merakam percakapan daripada ramai saksi yang dipanggil berhubung kejadian serangan ke atas Muhammad Adib yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kes cubaan bunuh kepada Seksyen 302 kanun yang sama atas kes bunuh.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, berkata suasana seperti ini adalah tidak begitu sihat kepada negara yang mengamalkan semangat perpaduan antara agama dan bangsa.
“Individu atau kumpulan yang melakukan provokasi seperti ini tidak kira sama ada dia berbangsa Melayu, Cina atau India harus diambil tindakan dengan segera kerana sekiranya dibiarkan ianya boleh menyebabkan ketegangan antara kaum.
“Saya minta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasat dan dakwa mereka asalkan apa yang cuba diapi-apikan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini dapat dikawal seterusnya memberikan pengajaran kepada pihak lain yang cuba melakukan perkara sama,” katanya.
Justeru, orang ramai boleh menyalurkan segera sebarang maklumat kepada pihak polis untuk memudahkan sesuatu tindakan dapat diambil bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kemakmuran negara Malaysia akan terus terjamin.
👍☺ Terima Kasih Kerana Membaca Artikel Ini Hati-hati bila komen. Semoga Bermanfaat Dan Jangan Lupa Berkongsi Untuk Perkembangan Blog Ini.
Sila Tinggalkan Komen Anda :
Sponsored
loading...
Back To Top